Bookmark and Share

Wednesday 23 November 2011

Menawan Amerika


I Want To Hold Your Hand - rasanya pasti ramai yang mengetahui lagu ini. Di Malaysia jika ada yang tak tahu pun, setidak - tidaknya pasti pernah mendengar lagu versi hindinya, "Deko Abto" yang pernah dibawakan kembali oleh Allahyarham M. Shariff bersama The Zurah 11 semasa irama pop yeh yeh popular dulu. 

Nyanyian asalnya, The Beatles sudah menjadi fenomena di tanah kelahiran mereka Britain, Perancis dan Jerman ketika I Want To Hold Your Hand menjadi single Nombor 1 di Amerika. Ia juga adalah single nombor 1 mereka yang pertama meletup di Amerika dengan berada di puncak carta selama tujuh minggu selepas berada di pasaran pada 26 Disember 1963.

Namun, walaupun 'Beatlemania' sudah menggila di Britain dan Eropah, tetapi Capitol, sebuah label yang mempunyai hak terhadap lagu - lagu mereka untuk pasaran Amerika tidak mahu memasarkan album Beatles di sana.

Ketika itu anggapan bahawa band - band rock n roll British untuk menjadi hit di Amerika adalah samar. Tetapi Beatles, pengurus mereka, Brian Epstein dan penerbit, George Martin mengubah tanggapan tersebut (mereka pernah merayu kepada Capitol supaya mengubah tanggapan tersebut). 

I Want To Hold Your Hand menyeberangi Lautan Atlantik dan mencetuskan 'Beatlemania' di Amerika pada tahun 1963 walaupun ketika itu rakyat Amerika masih bersedih dengan kematian  Presiden John F. Kennedy yang mati dibunuh. Mereka mula menyaingi populariti Elvis Presley dan Jerry Lee Lewis. Anak - anak gadis Amerika seperti diserang histeria apabila menyambut ketibaan mereka di sana. 'Beatlemania' kini melanda Amerika!

Semuanya adalah gara - gara lagu I Want To Hold Your Hand. Ia dicipta oleh John Lennon dan Paul McCartney dengan bersama - sama duduk di piano di ruang bawah rumah ibu bapa teman wanita Paul, Jane Asher. Kedua - dua 'maestro' ini menghasilkan lagu yang begitu memukau dari segi melodi dan harmoni termasuk memasukkan bunyian tepuk tangan yang begitu 'catchy'. Walaupun lagu ini hanya menampilkan korus sahaja dan nampak simple, ianya begitu memukau dan mengasyikkan serta tidak menjemukan.

The Beatles mula merakamkan lagu ini di Studio Abbey Road pada 17 Oktober 1963. Ketika itu ianya menggunakan peralatan baru iaitu studio empat track. Single ini berada di pasaran Britain pada 29 November tahun yang sama. Pada bulan Disember seorang Dj di radio WWDC, Washington, Amerika mendapat salinan single tersebut daripada teman wanitanya yang bekerja sebagai pramugari British Airways. Dia kemudian mula memainkannya dan ini diikuti oleh stesen - stesen radio yang lain. 

Capitol pula didesak supaya memasarkan single terbaru di Amerika dan terus berada di pasaran sana pada 26 Disember 1963. Ketika itulah Amerika mula ditawan oleh Beatles sehinggalah ke hari ini, Beatles merupakan lagenda di sana walaupun mereka berasal dari Britain.

Trivia -  Komm, Gib Mir Deine Hand atau I Want To Hold Your Hand, dirakamkan menggunakan bahasa Jerman. Dirakam 'expressly' untuk pasaran Jerman Barat dan Paris (Peranchis) pada 29 January 1964 dengan vokal baru dan 'handclaps' - ditambah dengan track instrument asas (11 kali overdub). Lagu She Loves You atau Sie Liebt Dich turut dirakamkan menggunakan bahasa untuk pasaran yang sama. The Beatles menyatakan mereka tidak akan lagi merakamkan lagu dalam bahasa lain selain bahasa ibunda mereka.


No comments:

Post a Comment