Bookmark and Share

Wednesday 23 November 2011

Perginya John Lennon


New York City, 8 Disember 1980, pastinya satu tarikh yang tak akan dilupai oleh peminat The Beatles khasnya John Lennon. 'Mastermind' The Beatles itu ditembak mati oleh peminat fanatiknya sendiri. Sehari sebelum itu John ditemuramah oleh sebuah stesen tv di mana dia mengatakan "Sama ada kita hidup atau mati, kita pasti akan mengalaminya.Jika mati kita kena menghadapinya. Jika kita hidup, kita kena teruskan." Inilah kata - kata akhirnya kepada media sebelum dia pergi buat selama - lamanya.

Terkejut, tak percaya dan kemudiannya sedih. Inilah reaksi seluruh dunia terhadap kematian John. Ramai yang terkejut kerana cara kematiannya - ditembak sekurang - kurangnya empat das di hadapan pangsapurinya dan di depan isterinya, Yoko Ono. Dia ditembak ketika baru pulang dari studio rakaman.

Di hadapan pintu masuk apartmen di mana
 John Lennon ditembak

Sembilan tahun sebelum kematiannya, The Beatles sudah pun dibubarkan akibat konflik dalaman sesama mereka. Ada yang beranggapan kehadiran Yoko Ono dalam hidup John Lennon menjadi punca kepada kejatuhan Beatles. Namun John tetap bahagia bersama Yoko Ono sehinggalah ke akhir hayatnya walaupun sebelum itu dia meninggalkan Cynthia dan anaknya, Julian Lennon. John mati dalam perjalanannya ke hospital dan pihak polis terus menjalankan siasatan. Seorang pemuda, Mark David Chapman telah ditahan atas tuduhan membunuh John Lennon. Menurut pegawai polis, Mark muncul di belakang John. Dia kemudian memanggil 'Mr. Lennon' sebelum melepaskan beberapa das tembakan yang kemudiannya mengejutkan seluruh dunia.

Mark David Chapman

Mark adalah bekas pesakit mental dan mempunyai seorang isteri  ketika dia membunuh John Lennon. Individu yang mengenali Mark kesemuanya terkejut kerana apa yang mereka tahu dia seorang yang baik serta tidak pernah mempunyai rekod jenayah. Enam minggu sebelum tragedi tersebut Mark yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hawaii telah membeli sepucuk pistol secara sah. Pada 23 Oktober 1980, Mark meletak jawatan dan menulis namanya di buku kedatangan dengan nama 'John Lennon'. Menurut rakan sekerjanya tanda nama Mark juga menggunakan nama 'John Lennon'. Seminggu kemudian, Mark meninggalkan Hawaii dan menuju ke New York.

"Nampaknya orang yang sukakan keamanan selalunya mati di muncung pistol. Lihatlah Martin Luther King, John F. Kennedy dan kini John Lennon pula" kata seorang peminatnya yang bersedih.

Kematian John Lennon adalah satu kehilangan yang besar. Dengan The Beatles, dia bersama Paul McCartney adalah gabungan yang begitu mantap sekali. Kedua - dua inilah yang mencipta sebahagian besar lagu hit The Beatles. Presiden Cuba, Fidel Castro begitu mengkaguminya dan menganggap John Lennon sebagai 'Wira Revolusi' dalam budaya seni.

Pada 30 November 2001, dunia dikejutkan pula dengan kematian seorang lagi anggota Beatles, George Harrison. Gitaris yang turut dikenali sebagai 'The Quiet Beatle' ini meninggal dunia di Los Angeles akibat barah yang sekian lama dihidapinya. Kini tinggallah Paul McCartney (walaupun beliau dikatakan telah meninggal dunia) bersama Ringo Starr yang hidup atas nama legenda, The Beatles.

George Harrison



No comments:

Post a Comment